SEJARAH

Segalanya ada permulaan.

Ilham penubuhan Persatuan Alumni Sekolah Kebangsaan Ragkam, Tambunan, Sabah (PASKeRTaS) datangnya daripada daripada Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Encik Ewil Ginting. Encik Francis Labi  membantu merealisasikan penubuhan dengan menghubungi seramai enam orang lagi sebagai ahli jawatankuasa penaja (pengasas). Perbincangan demi perbincangan melalui media whatsapp akhirnya membawa kepada persetujuan mengadakan mesyuarat permulaan.

Mesyuarat permulaan telah diadakan pada 2 Januari 2016 (Sabtu) bertempat di rumah kediaman Encik Tim Leary @ Timothy Thadius dengan dihadiri oleh semua ahli jawatankuasa penaja seramai lapan orang. Mesyuarat telah memutuskan untuk mendaftarkan persatuan ini  dengan mengguna-pakai perlembagaan yang disediakan oleh Pendaftar Pertubuhan.

Pada 12 April 2016, PASKeRTaS telah didaftarkan secara rasminya oleh Pendaftar Pertubuhan. Dengan berdaftarnya pertubuhan ini, maka secara sahnya pertubuhan ini boleh menjalankan aktiviti-aktiviti tertakluk kepada undang-undang dalam akta pertubuhan 1996.

Aktiviti pertubuhan ini adalah bersifat sosial iaitu tidak terhad dalam sesuatu bidang sahaja. Ini membolehkan semua ahli dapat menyumbangkan idea dan kepakaran demi kecemerlangan khasnya kepada pelajar S. K. Ragkam Tambunan dan masyarakat secara amnya.


SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN RAGKAM, TAMBUNAN, SABAH
(Sumber rujukan: Wikipedia, https://ms.wikipedia.org/wiki/Sekolah_Kebangsaan_Ragkam)

Penubuhan sekolah yang terletak di Ulu Tondulu ini adalah atas inisiatif mendiang Datuk Anthony Gibon pada tahun 1970. Menurut ketua kampung Papar, KK Palikat Lumawang, wakil penduduk yang terlibat dalam perbincangan tersebut ialah mendiang Encik Masudang Somolu dan mendiang Soidoi Konsunou. Nama sekolah diambil sempena nama sebuah anak sungai yang berhampiran iaitu anak sungai Ragkam (Lokos Ragkam).


Pada masa itu Kg. Kuyungon belum didaftarkan secara rasmi atas faktor bilangan penduduk yang sedikit dan pentadbirannya bernaung di bawah Kg. Papar. Walaupun demikian, mendiang Datuk Anthony Gibon mengambil langkah proaktif mengasaskan sekolah ini bagi memberi capaian pendidikan kepada anak-anak penduduk Kuyungon kerana jarak dengan Pekan Tambunan dan sekolah terdekat (SK. St. Theresa) adalah lebih kurang 7.5KM.


Sebelum sekolah dibina, beberapa orang penduduk yang berasal dari Kg. Longkogungan Penampang iaitu mendiang Masudang Somolu, mendiang Gundolot Rumpou dan mendiang Soidoi Konsunou (balu kepada mantan Ketua Kampung Longkogungan, mendiang Sombuah Danggaan) telah mendirikan  rumah di kawasan itu dan menjadikan tapak tersebut sebagai kawasan perkampungan.


Menurut Ketua Kampung En. Palikat Lumawang yang juga mengurus segala hal ehwal Kg. Kuyungon pada ketika itu, mendiang Pouil Gatin dan mendiang Bernad Butit Ukala telah mengemukakan tuntutan hakmilik terhadap tanah tersebu. Walaubagaimanapun  mendiang Datuk Anthony Gibon dan KK Palikat Lumawang telah berunding dengan mereka untuk melepaskan tuntutan ke atas tanah tersebut demi faedah generasi akan datang.


Pada sekitar tahun 1974 pembinaan sekolah telah diluluskan. Ketika pembinaan bangunan sekolah bermula, mendiang Gundolot Rumpou dan mendiang Soidoi Konsunou berpindah ke kawasan berhampiran manakala mendiang Masudang Somolu kekal mendiami kawasan tersebut sambil mengusahakan pertanian di kawasan berhampiran kira-kira satu kilomiter dari kawasan sekolah. Mendiang Masudang Somolu telah meninggal dunia di rumahnya dalam kawasan sekolah dan beliau telah dikebumikan di kawasan tanah sekolah. 


Pada tahun 1977, bangunan sekolah SK Ragkam dengan dua buah bilik darjah telah siap dibina. Menurut rekod, SK Ragkam beroperasi secara rasminya pada 21 Mac 1977 di bawah pentadbiran Guru Besar En. Primus Otigil dan dibantu oleh En. Richard J. Lakim. Bilangan murid pada ketika itu adalah seramai 13 orang. En. Thadius Kudumpong telah dilantik sebagai Pengerusi PIBG yang pertama ketika pentadbiran Guru Besar En. Primus Otigil.


Pada tahun 1980, bilangan penduduk di Kampung Ulu Tondulu (Kg. Kuyungon) telah meningkat. Dengan peningkatan ini, bilangan pelajar di SK. Ragkam juga turut bertambah dan wujud keperluan untuk pembinaan bangunan tambahan bagi menampung pertambahan jumlah pelajar. 


Kampung Ulu Tondulu didaftarkan secara rasminya dengan nama Kampung Kuyungon di bawah Pusat Kemajuan Masyarakat, Daerah Tambunan, Kawasan N.16 Tambunan pada 16 November 1982. Sehubungan dengan itu, permohonan bagi penambahan bangunan baru telah dikemukakan oleh pentadbiran Kg. Kuyungon bersama dengan pihak pentadbiran sekolah pada tahun-tahun berikutnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan