Sabtu, 9 April 2022

Sumbangan Kepakaran Sukarelawan Alumni Diperlukan Untuk Menjayakan Sistem Pembelajaran Di SK. Ragkam, Tambunan

Cikgu Thersia Robin, penolong kanan hal ehwal murid SK. Ragkam, Tambunan, Sabah mengalu-alukan penglibatan alumni dalam menjayakan sistem pembelajaran di sekolah.

Dalam majlis yang ringkas itu, penolong kanan hal ehwal murid menyampaikan ucapan penghargaan daripada Guru Besar kepada rombongan yang mewakili seluruh ahli alumni dan para penyumbang atas pengorbanan dari segi tenaga, masa dan wang ringgit untuk memberi sumbangan kepada pelajar sekolah.

Cikgu Thersia turut berharap agar ahli alumni dapat menyumbangkan sedikit sebanyak kepakaran mereka ke sekolah dalam apa jua cara pada masa akan datang. 

“Kami mengetahui bahawa alumni terdiri daripada pelbagai latar belakang kepakaran dan pendidikan. Sehubungan itu, kami mengalu-alukan kerjasama dan memerlukan sumber kekuatan Alumni untuk membangunkan sekolah, bukan sahaja dari segi sumber kewangan tetapi cadangan serta idea-idea bernas,” katanya.

Encik Francis Labi selaku setiausaha Persatuan Alumni Sekolah Kebangsaan Ragkam Tambunan, Sabah menjelaskan ahli persatuan kembali terlibat dengan sekolah walaupun lama meninggalkan sekolah adalah sebagai satu tindakan membalas budi terhadap kejayaan sekolah yang menjadikan mereka individu yang boleh berdikari pada hari ini.

“Dahulu, kami juga pernah merasa sukar dan kami bersyukur kerana masyarakat di sekitar sekolah dan kampung kami sentiasa menghulurkan bantuan apabila diperlukan. Justeru itu, apabila kami mengetahui bahawa pelajar di SK. Ragkam, Tambunan menghadapi kesulitan untuk mendapatkan pelitup muka, kami di pihak alumni segera membuka tabung pelitup muka. Tabung ini berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM780.00 iaitu melebihi sasaran awal kami iaitu RM500.00.”

“Walaupun mungkin sumbangan ini kelihatan kecil sahaja tetapi ia diharap memberi inspirasi kepada masyarakat untuk terus menyokong usaha alumni. Menggerakkan aktiviti persatuan  memerlukan semangat kesukarelawanan yang tinggi dan kami di alumni berharap agar lebih ramai yang menyertai sebagai ahli, bak kata pepatah ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing,”  jelas beliau.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Encik Dunstan Sabinus, Timbalan yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Ragkam Tambunan.

Encik Francis Labi menyerahkan cenderahati simbolik penyerahan 10,000 pelitup muka kepada Cikgu Thersia Robin,  Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SK. Ragkam, Tambunan.
Encik Francis Labi menyerahkan cenderahati simbolik penyerahan 10,000 pelitup muka kepada Cikgu Thersia Robin,  Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SK. Ragkam, Tambunan.

Peserta rombongan bergambar kenangan bersama pihak pengurusan sekolah di hadapan pintu pagar sekolah.

Ahli alumni berkumpul di Pusat Ekonomi Kuyungon untuk membincangkan aktiviti alumni yang akan datang

Ingatan dan doa daripada para penyumbang 'Dana Pelitup Muka'

Isnin, 4 April 2022

ACARA PENYERAHAN SUMBANGAN PELITUP MUKA UNTUK PELAJAR SK. RAGKAM, TAMBUNAN

Sukacita dimaklumkan bahawa *Program Sumbangan Dana Pelitup Muka Kepada Pelajar SK. Ragkam* telah ditutup.

Program ini telah berjaya mengutip sebanyak RM720.00 dan dijangka dapat membekalkan sebanyak 180 kotak pelitup muka (9,000 keping).

Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang.

Acara penyerahan sumbangan  dijangka akan dilaksanakan seperti berikut;

        TARIKH: 09 April 2022 (Sabtu)

        MASA : 2:00 Petang

        TEMPAT: SK. Ragkam, Tambunan

         ATUR CARA:

            2:00 Ptg - Ketibaan ke SK. Ragkam, Tambunan

            2:10 Ptg - Taklimat ringkas/sejarah sekolah oleh wakil sekolah (Bahagian Hal Ehwal Murid)

            2:20 Ptg - Acara Penyerahan Sumbangan (Sesi bergambar depan sekolah)

            2:30 Ptg - Lawatan ke sekitar sekolah (Luar sahaja, untuk mematuhi SOP KPM)

            3:00 Ptg - Lawatan dijangka selesai

                          - (Peserta bergerak ke KEC, Kg. Kuyungon untuk minum petang)

Sesiapa yang berminat untuk menyertai aktiviti ini, adalah dialu-alukan. Sila berhubung dengan EN. FRANCIS melalui whatsapp (016-8023456).